Pendidikan Mohd Khairuddin Aman Razali

Pendidikan menengah awal di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Ladang, Kuala Terengganu pada tahun 1986. Setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SRP pada tahun 1988, mendapat tawaran ke Kolej Islam Klang. Namun hati lebih terpaut untuk memasuki aliran Thanawi yang menggunakan bahasa Arab sepenuhnya di Sekolah Menengah Agama Sultan Zainal Abidin, Kuala Terengganu.

Namun, pengajian di aliran Thanawi tak sempat diselesaikan kerana setelah mendapat keputusan cemerlang dalam SPM yang diambil secara persendirian pada tahun 1990, beliau lebih berminat untuk segera ke luar negara menuntut ilmu. Justeru, tawaran untuk melanjutkan pelajaran pada tahun 1992 ke Universiti of Jordan diterima.

Berjaya mendapat Sarjana Muda dengan kepujian di bidang Bahasa & Kesusasteraan Arab di Universiti Jordan pada tahun 1996. Seterusnya pengajian di peringkat Sarjana diteruskan dan berjaya mendapat Sarjana Bahasa dan Kesusateraan Arab di Universiti Aal al-Bayt, Mafraq, Jordan pada tahun 2000. Tajuk tesis sarjana beliau ialah "Signifikan Partikel Setara dan Genetif di sisi Sarjana Sintaksis" dan "Sarjana Usul Fiqh serta pengaruhnya terhadap Kefahaman Teks Syarak"

Seterusnya beliau melanjutkan ke pengajian kedoktoran dan memperoleh Ph.D Pengajian Islam (2011) di Jabatan Arab & Tamadun Islam, FPI, UKM dengan tesis bertajuk: "Retorik Partikel Waw Dalam al-Qur'an Dan Pengaruhnya Terhadap Penterjemahan Makna al-Qur'an ke Dalam Bahasa Melayu."